Powered By Blogger

Tuesday, August 31, 2010

PENGERTIAN ORANG

  Perkataan "orang" sebenarnya meberi berbagai pengertian mengikut kesesuainan ayat, tempat dan ragam penutur.  Pada ruangan ini Pok Muda Pencen agak tertarik untuk berkongsi bersama pengertian "orang" dari sudut minda orang lama.  Manifestasi pengertianya adalah seperti berikut:

1.  Orang:  Iaitu membawa maksud asal,  bermaksud individu manusia yang mempunyai sifat dan fitrah kejadian semulajadi.  Manusia yang bersifat dengan sifat manusiawi yang dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk mentadbir alam ini (khalifah) mengikut panduan kehidupan serta pentadbiran alam (al-Quran) dan tunjuk ajar dari juru tunjuk kehidupan di dunia ini (Rasulullah S.A.W./ sunah).  Inilah sebenar-benarnya "orang".  Jati diri mereka adalah al-Quran dan Sunah.  Matlamat mereka pula ialah keredhaan Allah S.W.T.

2.  Orang-orang:  Iaitu membawa maksud kelompok manusia yang membentuk komuniti yang mengikut peraturan yang telah tersedia oleh majoriti ahli kominiti tersebut.  Mereka bermuamalah sesama mereka untuk kepentingan sesama mereka.  Sekiranya mereka berintraksi dengan komuniti lain pun adalah semata-mata untuk kepentingan majoriti komuniti mereka.  Kadang-kadang ketaksuban terhadap komuniti mereka melebihi dari segala-galanya dan tanpa usul periksa (membabi buta).

3.  Orang-orangan:  Iaitu bermaksud individu atau komuniti yang mudah mengikut arus tanpa mempunyai jati diri yang kukuh.  Mana yang mendapat majoriti dan menguntungkan (memenuhkan kantung) itulah yang di sokong.  Hidupnya umpama lalang atau pucuk pokok, bergerak mengikut arah angin yang meniup tanpa mengira kadang-kadang angin yang meniup itu adalah angin ribut yang akan mematahkan dahan atau mencabut pokok seterusnya mematikan pokok itu sendiri.  Mereka ini ada ketikanya akan menjadi alat terhadap kumpulan tertentu untuk kepentingan mereka.  (Cuba perhatikan orang-orangan yang dijadikan sebagai penghalau burung di tengah sawah.  Selepas padi dituai ianya akan dibuang atau dibakar sesama jerami padi untuk dijadikan baja).

4.  Mengorangkan:  Mereka yang tidak sanggup untuk mengakui kesilapan diri.  Setiap kesalahan dan kesilapan dilemparkan sebabnya kepada orang lain.  Hidupnya dalam lingkungan lagu "Bangau oh Bangau".  Akhirnya mereka akan tenggelam dalam keseronokan dan kehebatan diri yang dicipta di atas kejerihan orang lain. Pada mereka kebaikan dan kesempurnaan adalah milik mereka, manakala keburukan dan kecacatan adalah berpunca dari orang lain.  Sikap hipokrit, angkuh, riak, takabur dan ujub sentiasa berlingkar mengelilingi mereka.

5.  Diorangkan:  Kehidupan mereka sentiasa bergantung pada orang lain.  Perkataan inovatif dan kereatif tiada dalam kamus kehidupan mereka.  Moto kehidupan mereka ialah teruskan yang telah dilakukan oleh mereka yang terdahulu, tanpa perlu kepada pembaharuan dan perubahan.  Mereka sanggup melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh pihak atasan tanpa usul periksa.  Setiap arahan mesti dipatuhi tanpa sanggah walau pun memudharat dan tiada kebaikan.


      Demikianlah maksud "orang" dari sudut minda orang lama.  Agak-agaknya peringkat manakah tahap "orang" pada diri kita?  Renung-renungkan!!!!!!!
Kepada kawan-kawan harap berilah komen berguna agar Pok Muda Pencen dapat jadikan sebagai panduan dalam meneruskan sisa kehidupan berpencen Pok Muda